Jumaat, 13 Ogos 2010

Arrgghh!!!! Aku sangap!!

Pada mulanya, gua ingin memberi tajuk “argh, puas~” pada nukilan gua pada kali ini kerana gua telah merancang untuk menikmati sesuatu yang tiada tandingan nikmatnya di dunia ini. Akan tetapi, kenikmatan yang gua idamkan, tidak kunjung dapat gua laksanakan. Sepanjang waktu siang, dalam lebih kurang 13 jam setengah gua menahan nafsu yang membelenggu diri . Namun bila tiba waktu untuk gua melampiaskan nafsu itu, iaitu apabila telah selesai berbuka puasa, gua terus alpa dengan ibadah-ibadah wajib beserta sunat-sunat sampingannya. Nafsu gua yang meluap-luap ketika tekun menjalani ibadah puasa siang tadi, tidak pula meluap-luap pada waktu malamnya, hingga ke waktu imsak tadi.

Namun, apabila azan subuh berkumandang, apabila gua pergi ke tandas untuk melaksanakan Qada` hajat, nafsu gua meronta-ronta minta dilayan kembali. Argh! Mengapa tidak gua turutkan kehendak nafsu gua sepanjang diberikan kesempatan waktu oleh Allah s.w.t sepanjang waktu fajar masih mengasingkan dirinya di bahagian Bumi yang 1 lagi?
Adakah gua patut menyesal?

Persoalan ini akan menghakimi gua tentang sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan gua dalam menghadapi bulan mulia yang digelar oleh Rasulullah S.A.W sebagai “bulan bagi umat ku” ini.

Bagi persoalan itu, gua berfikir secara logik orang dewasa, mungkin gua tidak patut menyesal. Walau bagaimanapun gua patut membuat satu nota peringatan tentang harusnya gua memuaskan nafsu diri ini yang mengganggu-gugat konsentrasi dalam menjalani ibadah puasa, apabila ada waktu kelapangan di malam hari.

Dalam nota peringatan itu nanti,akan gua coretkan; “wahai hamba Allah yang bernama *****, puaskanlah nafsu mu sekarang! Koreklah lubang hidung mu di kesempatan ini, iaitu selepas gelincirnya matahari, dan sebelum terbit fajar esok hari. Moga kau peroleh kenikmatan yang mutlak,yang selalu engkau dambakan”.

Lalu, akan gua tampalkan nota ringkas tapi penuh dengan pengertian itu, di pintu peti sejuk yang selalunya menempatkan makanan yang lazat-lazat, serta minuman yang akan memuaskan satu bahagian lain nafsu diri gua.

Argh! Gua kembali sangap membaca nukilan gua ini! Jagalah engkau wahai lubang hidung! Akan gua korek sepuas-puasnya apabila terbaca nota di pintu peti sejuk itu,selepas berbuka kelak!

Harus berlalu pergi. Selamat berpuasa~(n_n)v