Khamis, 18 November 2010

Sabar,pak cik..sabar~

Orang-orang tua atau veteran kat kampung gua, di suatu tempat di negeri Selangor berniat ingin melancarkan amuk beramai-ramai. Oleh kerana terpengaruh dengan ibu bapa, serta datuk nenek mereka, kanak-kanak hingusan yang nak menarik getah lastik pun belum mampu, turut berminat untuk ikut serta. Mungkin juga hanya ingin menyebuk sebagai penonton.

Masing-masing ada membawa senjata suku kaum melayu Malaysia seperti parang, kapak dan pisau yang tidak kepalang tajamnya. Gua percaya mereka semua telah bertungkus-lumus membuat persiapan rapi, yang gua anggarkan sekurang-kurangnya seminggu juga mereka luangkan masa bagi mengasah senjata-senjata yang gua agak fobia itu. Mujur juga, tidak kelihatan bilah-bilah klon keris Taming Sari, lembing, tombak, cemeti mahupun busar (panah) dalam kalangan mereka ini. Jika tidak, pasti gua bingung memikirkan
“siapa sahaja yang berjaya mencipta mesin masa, dan mencampak gua ke zaman kegemilangan Melayu Melaka?”.


Gua tidak kaget, melihat mama gua muncul di tengah-tengah kumpulan yang mengamuk itu, dengan sebilah parang dan sebilah pisau. Dan tidak pula gua berasa bongkak apabila mama menghulurkan senjata-senjata berbahaya itu tadi kepada gua, bagi menyertai acara amukan tersebut.

Dalam lautan wajah manusia itu, muncul beberapa orang jejaka yang gua yakin tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan ragbi di bangku persekolahan mereka. Namun, dengan rakus, mereka menerpa ke barisan hadapan, bagi men‘tackle’-rebahkan 4 ekor lembu jantan ke muka bumi. Maka, senjata pertama yang membuat kemunculan pembukaan ialah beberapa bilah parang yang berkilauan apabila memantulkan cahaya mentari jam 10.20 pagi, yang bertindak selaku pemotong urat sorigh oleh 2 orang ustaz @ imam masjid kampung.

Maka selepas itu, kelibat sang kapak dan pisau-pisau tajam tidak lagi dapat disembunyikan. Masing-masing tersangat ingin memunculkan diri, bagi memainkan peranan. Darah merah menyelaputi sekalian umat yang berjuang. Dalam masa yang singkat, 4 ekor lembu yang jumlah jisimnya mungkin mencecah 600kg, lesap bagaikan pesawat yang mundar-mandir di Segi Tiga Bermuda.

Mungkin dalam beberapa hari ini, fakir miskin serta penduduk kampung yang berjuang bersama-sama akan terhindar daripada kelaparan. Mudah-mudahan~



p/s : kepada muslimin-muslimat, “saudara-saudara baru” serta mereka yang lambat-laun akan merasai kemanisan Islam, jangan tunjukkan kejahilan anda dengan berpuasa enam mulai esok hari, 11 Zulhijjah 1431H @ 18 November 2010.

Salam eid al-adha~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan